Langkau ke kandungan utama

Catatan

Tunjukkan catatan dari Mac, 2023

Amalan disertai dengan niat

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar bin al-Khattab bin Nufail bin Abdil Uzza bin Riyah bin Abdullah bin Qurth bin Razah bin ‘Adi bin Kaab bin Luaiy bin Ghalib al-Qurasyiy al-‘Adawiy RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya amalan perbuatan disertai dengan niat dan bagi setiap orang pada yang telah dia niatkan. Maka, sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrah itu menuju kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrahnya demi harta dunia yang hendak diperolehinya ataupun untuk seorang wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya menuju kepada niat dimaksudkan dalam hijrahnya itu.” — Hadis disepakati kesahihannya — Sahih Bukhari dan Muslim Penjelasan:   Hadis diriwayatkan dua imam ahli hadis iaitu Abu Abdillah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Ju’fi Al-Bukhari dan Abu Husain Muslim bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qusyairi An-Naisaburi  – semoga Allah meredai kedua...

Tiga hal berbangkit di hari kiamat

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman pada hari kiamat: Wahai anak Adam! Aku sakit tetapi kamu tidak menjenguk-Ku. Anak Adam berkata: Ya Rabb! Bagaimana saya menjenguk-Mu, sedangkan Engkau adalah Rabb yang menguasai seluruh alam ini? “Allah berfirman: Tidakkah kamu mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si polan itu sakit tetapi kamu tidak menjenguknya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa apabila kamu menjenguknya tentulah kamu akan mendapati Aku di sisinya? “(Allah berfirman) wahai anak Adam! Aku meminta makanan padamu tetapi kamu tidak memberi-Ku makan. Anak Adam berkata: Ya Rabb, bagaimana saya memberikan makanan pada-Mu, sedang Engkau adalah Rabb yang menguasai seluruh alam ini? “Allah berfirman: Tidakkah kamu mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si polan itu meminta makanan padamu tetapi kamu tidak memberinya makanan. Tidakkah kamu mengetahui, bahawa apabila kamu memberikan makanan padanya tentu kam...

Rahmat bersamanya

Daripada Abu Dzar RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seorang daripada kamu mendirikan solat, maka janganlah dia mengusapkan butir-butir pasir (yang menempel di dahinya) kerana sesungguhnya rahmat selalu bersamanya.” (Riwayat imam yang lima dengan sanad sahih) Huraian — Hadis ini adalah dalil mengenai larangan untuk mengusap kerikil setelah masuk dalam solat. Alasan larangan ini adalah untuk menjaga khusyuk, kerana rahmat sedang menghampirinya, maka hendaknya dia tidak mengubah (menyingkirkan) tanah dan kerikil yang menempel di wajahnya. Begitu juga dengan tempat yang dia sujud di atasnya. Melainkan jika hal itu membuatkannya sakit, maka tidak mengapa dia menyingkirkannya. — Hadis sepertinya juga ada dalam as-Sahih, daripada Mu’aiqib tanpa menyebutkan alasannya. Lafaz hadis Mu’aiqib: “Janganlah kamu mengusap kerikil ketika kamu sedang solat. Jikalau kamu harus melakukannya, maka usaplah sekali saja untuk menyamaratakan kerikil.”

Cara solat

Daripada Imran bin Hushain RA, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Solatlah sambil berdiri. Jika tidak mampu, maka sambil duduk. Jika kamu tidak mampu, maka sambil berbaring di atas rusuk. Jika tidak mampu juga, maka cukup dengan isyarat.” (Diriwayat oleh Bukhari) HURAIAN – Dalam kitab Subulus Salam disebutkan: “Dalam penyalinan al-Bulugh kami tidak mendapati kesesuaian. Al-Bukhari telah meriwayatkan hadis ini tanpa perkataan ‘jika tidak maka dengan isyarat’. Dan an-Nasai menambahkan: “Jika engkau tidak mampu, maka berbaringlah. Allah tidak membebani jiwa melainkan sesuai kemampuannya.” – Hadis ini adalah dalil bahawa Baginda SAW tidak solat wajib dalam keadaan duduk melainkan kerana uzur iaitu tiadanya kemampuan. Termasuk dalam hal ini adalah situasi khuatir ada bahaya. Hal ini berdasarkan firman Allah bermaksud: “Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu kesempitan dalam agama.” (Surah al-Haj, ayat 78...

Kurma dan air

Daripada Salman bin Amir adh-Dhabbiy as-Sohabi RA daripada Nabi SAW, baginda bersabda (mafhumnya): Apabila seorang daripada kamu berbuka (berbuka puasa), maka berbukalah dengan kurma, jika tidak ada, maka berbukalah dengan air. Maka, sesungguhnya ia (air) adalah pembersih (atau menyucikan). (Hadis diriwayat Abu Dawud dan Tirmidzi. Tirmidzi berkata, hadis ini hasan sahih) Huraian Sabda baginda “maka berbukalah dengan kurma”, Tirmidzi menambahkan “kerana (kurma) itu berkat”. Hikmahnya adalah ketika di dalam perut ada sisa-sisa makanan, kurma menghilangkan sisa-sisa itu dan jika tidak ada, kurma menjadi sumber makanan, selain kurma juga menyatukan kembali cahaya penglihatan yang berserakan (bertaburan) kerana puasa.  Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 743

Segera berbuka dicintai Allah

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Allah (Azza wa Jalla) berfirman, hamba-hamba-Ku yang paling Aku cintai adalah yang paling menyegerakan berbuka (berbuka puasa). (Hadis diriwayatkan Tirmidzi dan berkata hadis ini hasan) Huraian Allah mencintai orang yang menyegerakan berbuka kerana menyegerakan berbuka itu mengikuti sunah. Allah berfirman maksudnya: Katakanlah (Muhammad) ‘jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu’. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah Ali-Imran, ayat 31) Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 741

Menyegerakan Maghrib dan berbuka

Daripada Abu Athiyah, dia berkata: Aku bersama Masruq masuk menemui Aisyah RA (radhiallahu anha). Masruq kemudian bertanya, ada dua sahabat Muhammad SAW, kedua-duanya tiada lalai daripada kebaikan, salah seorangnya menyegerakan Maghrib dan berbuka, dan yang lain (seorang lagi) mengakhirkan Maghrib dan berbuka? Aisyah bertanya: Siapa yang menyegerakan Maghrib dan berbuka? Masruq menjawab: Abdullah — iaitu (Abdullah) Ibnu Mas’ud. Aisyah berkata: Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah. (Hadis diriwayat Muslim) Huraian Hadis ini mengandungi anjuran menyegerakan Maghrib dan berbuka puasa ketika matahari terbenam. Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 741

Keutamaan segera berbuka puasa

Daripada Sahl bin Saad RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Manusia akan sentiasa dalam kebaikan selama (atau selagi) mereka menyegerakan berbuka puasa. (Sahih Bukhari, Muslim dan Tirmidzi) Huraian Ahmad menambahkan daripada riwayat Abu Dzar (bermaksud) “dan mereka mengakhirkan sahur.” Disebutkan dalam satu riwayat: “Umatku akan sentiasa berpegang pada sunahku selama mereka tidak menunggu (terbitnya) bintang-bintang saat berbuka.” Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 740

Pembeza puasa Muslim dengan ahli kitab

Daripada Amr bin As RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Pembeza antara puasa kita dengan puasa ahli kitab adalah makan sahur. (Hadis diriwayatkan Muslim) HURAIAN Hadis ini secara tegas menunjukkan bahawa sahur termasuk salah satu keistimewaan umat ini dan Allah menganugerahkan syariat itu kepada kita, seperti halnya Dia juga menganugerahkan berbagai-bagai rukhsah (keringanan atau kelonggaran) lainnya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 740 

Berkat pada sahur

Daripada Anas RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Bersahurlah kamu! Maka, sesungguhnya pada sahur ada keberkatan. (Sahih Bukhari, Muslim, Tirmidzi dan Nasai) HURAIAN Keberkatan sahur dapat diperolehi melalui banyak sisi, seperti: 1. Mengikuti sunah, berbeza dengan ahli kitab. 2. Memperkuat ibadat. 3. Meningkatkan vitaliti (daya). 4. Mencegah akhlak tidak baik berpunca daripada rasa lapar. 5. Faktor mendorong untuk bersedekah kepada orang meminta ketika itu atau mengajaknya makan bersama. 6. Faktor mendorong zikir dan doa pada waktu mustajab (waktu diterima doa). Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 740

Doa apabila melihat hilal

Daripada Talhah bin Ubaidullah RA, apabila melihat hilal (anak bulan) Nabi SAW membaca: Wahai Allah munculkanlah ia kepada kami dengan aman dan iman, selamat dan Islam, Rabbku (Tuhanku) dan Rabbmu (Tuhanmu) Allah, hilal petunjuk dan kebaikan.” (Hadis diriwayatkan at-Tirmidzi, dia berkata hadis ini (statusnya) hasan) HURAIAN Hadis ini berisi anjuran berdoa saat melihat hilal.  Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 737

Puasa Ramadan kerana melihat hilal

Daripada Ibnu Abbas RA (radhiallahu anhu) dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu berpuasa sebelum Ramadan. Puasalah kerana melihatnya (hilal = anak bulan) dan berbukalah kerana melihatnya. Jika awan menghalangi (hilal), maka sempurnakanlah 30 hari. (Hadis diriwayatkan Tirmidzi, dia berkata hadis ini (status) hasan sahih) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 737/738

Tidak mendahului Ramadan melainkan…

Daripada Abu Hurairah RA (radhiallahu anhu) daripada Nabi SAW (sollallahu alaihi wasallam) baginda bersabda: “Janganlah seseorang antara kamu mendahului Ramadan dengan puasa satu hari atau dua hari, melainkan bagi orang yang biasa berpuasa, maka silakan dia berpuasa pada hari itu.” (Muttafaq alaihi — Sahih Bukhari & Muslim)  Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 737

Larangan puasa pada hari diragukan

Daripada Silah bin Zufar [ صلة بن زفر ] dia berkata: “Kami pernah bersama Ammar bin Yasir, kemudian dia diberikan seekor kambing bakar, lalu dia berkata, ‘makanlah’. Lalu, sesetengah orang menjauh dan berkata ‘aku sedang berpuasa’. Ammar bin Yasir lantas berkata, sesiapa berpuasa pada hari yang diragukan, sungguh dia telah derhaka kepada Abu al-Qasim Sollallahu alaihi wasallam (SAW).” Daripada Simak bin Harb [ سماك بن حرب ] dia berkata: “Aku berpuasa pada hari yang aku masih ragu, apakah bulan Syaaban atau Ramadan. Maka, aku datang menemui Ikrimah, ternyata dia sedang makan roti dan sayur. Dia lalu berkata ‘marilah makan siang’. Kemudian aku berkata, ‘aku sedang berpuasa’. Ikrimah berkata lagi; ‘aku bersumpah dengan nama Allah hendaklah engkau harus berbuka’. Maka, tatkala aku melihatnya bersumpah dan tidak mengucapkan insyallah, aku maju dan mengungkapkan alasan; ‘sesungguhnya sebelum itu aku telah maka...

Tinggal pakaian mewah kerana tawaduk

Daripada Muaz bin Anas RA, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: Sesiapa meninggalkan pakaian (mewah) kerana tawaduk kepada Allah, padahal dia mampu, maka Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan semua makhluk hingga Dia menyuruhnya memilih perhiasan keimanan mana saja yang dia mahu kenakan. (Riwayat at-Tirmidzi, dan dia berkata, hadis hasan) HURAIAN – Dalam hadis ini diterangkan mengenai keutamaan meninggalkan pakaian kebanggaan kerana tawaduk dan pahalanya. Sebab, sesiapa meninggalkan sesuatu semata-mata kerana Allah, maka Dia akan memberikan ganti yang lebih baik daripadanya. – Sesiapa yang bersikap tawaduk semata-mata kerana Allah, maka Dia akan mengangkat darjatnya di dunia dan akhirat.  

Tutup mulut menguap

Daripada Abu Said al-Khudri RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Jika seorang daripada kamu menguap, hendaklah dia menutup mulutnya dengan tangannya. Sebab sesungguhnya syaitan akan masuk. (Riwayat Muslim) HURAIAN – Intisari hadis ini ialah sunah menutupkan mulut dengan tangan ketika menguap kerana syaitan akan masuk mulut ketika seseorang menguap.

Sunah cium anak

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: “Nabi SAW pernah mencium Hasan bin Ali RA. Al-Aqra’ bin Habis pun berkata: Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka. Rasulullah SAW lalu bersabda: Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.(Sahih Bukhari dan Muslim)  HURAIAN – Intisari hadis ini ialah sunah mencium anak sebagai bentuk kasih sayang.  Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya 

Keampunan kerana berjabat tangan

Daripada al-Barra RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu berjabat tangan melainkan Allah mengampuni bagi kedua-duanya sebelum kedua-duanya berpisah. (Riwayat Abu Daud) HURAIAN Intisari hadis ini ialah penegasan perintah dan anjuran berjabat tangan berdasarkan khabar daripada Nabi SAW bahawa Allah akan mengampuni dua orang yang berjabat tangan di tempat kedua-duanya bertemu.

Cara jawab salam ahli kitab

Daripada Anas RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Apabila ada ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) memberi salam kepada kamu, maka jawablah (dengan ucapan): Wa alaikum.” (Sahih Bukhari dan Muslim) HURAIAN – An-Nawawi berkata: “Ulama sepakat atas bolehnya menjawab ucapan salam kepada ahli kitab jika mereka mendahului mengucapkan salam, namun jangan dengan mengucapkan wa alaikum salam tetapi ucapkanlah alaikum atau wa alaikum.” – Makna hadis ini terdapat dalam hadis lain: “Sesungguhnya orang Yahudi ketika mengucapkan salam kepada kamu, salah satu daripada mereka mengucapkan ‘as-saamu alaikum’ maka jawablah salam mereka dengan ucapan ‘wa alaikum’.” (Riwayat Muslim)  – As-saamu ertinya kematian. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya

5 hak Muslim

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Hak seorang Muslim ke atas Muslim lain lima: Menjawab salam, menjenguk orang sakit, menghantarkan jenazah, memenuhi undangan dan mendoakan orang yang bersin.” (Sahih Bukhari dan Muslim) HURAIAN – Dalam riwayat Muslim disebutkan: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim lain ada enam.” Tambahannya: “Jika dia meminta nasihat kepadamu, maka nasihatilah dia.”

Tidak cela makanan

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Tidak pernah sekali pun Rasulullah SAW mencela makanan. Jika berselera, maka Baginda memakannya dan jika tidak suka, maka Baginda meninggalkannya. (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)   HURAIAN – Perbuatan mencela makanan boleh mengguris hati pemiliknya, sedang memuji makanan adalah pujian terhadap Allah dan penghibur hati pemiliknya.

Umpama hujan menyirami bumi

Daripada Abu Musa RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya perumpamaan petunjuk dan ilmu yang aku diutus oleh Allah untuk membawanya ialah bagaikan hujan yang mengena (menyiram) bumi.Di antara bumi, ada bahagian yang baik. Tanah bahagian ini dapat menerima air, sehingga ia dapat menumbuhkan rumput dan lalang yang banyak sekali. Dan di antara bumi ada pula yang gersang. Tanah bahagian ini dapat menahan air, maka Allah memberikan manfaat kepada manusia dengan tanah ini, kerana mereka dapat minum darinya, dapat menyiram dan menanam. Ada pula hujan mengenai bahagian bumi yang lain. Tanah ini hanyalah tanah rata lagi licin, tidak dapat menahan air dan tidak dapat menumbuhkan rumput. Jadi, itulah perumpamaan orang yang pandai dalam agama Allah dan dapat pula memberikan manfaat dengan apa yang aku diutus oleh Allah untuk membawanya, lalu ia dapat memahami dan mengajarkannya dan perumpamaan orang yang enggan mengangkat kepala untuk menerima petunjuk dan ilmu dan tidak men...

Makan tak kenyang

Daripada Wahsyi bin Harb RA, sahabat Rasulullah SAW berkata: Wahai Rasulullah! Kami makan, namun tidak berasa kenyang? Baginda bersabda: Mungkin kamu makan sendiri-sendiri?  Mereka menjawab: Benar.  Baginda bersabda: Kalau begitu, makanlah bersama-sama dan sebutlah nama Allah. Nescaya kamu akan diberkati padanya. (Diriwayat oleh Abu Daud)   Huraian — Hadis ini mengandungi penjelasan bahawa keberkatan itu akan turun pada orang yang makan secara berjemaah. — At-Tabrani menambah, hadis daripada Ibnu Umar: "Makanan untuk seorang cukup untuk dua orang dan makanan dua orang cukup untuk empat orang."

Huru-hara dari timur

Daripada Ibnu Umar RA ( radhiallahu anhu — semoga diredai Allah), bahawa Rasulullah SAW ( sollallahu alaihi wasallam ) pernah berdiri di sebelah mimbar sambil menghadap ke (arah) timur, lalu bersabda (ertinya): "Ketahuilah, sesungguhnya fitnah (huru-hara akan timbul) dari sini, dari tempat munculnya tanduk syaitan atau kata baginda, tanduk matahari." Sumber —  Huru-hara hari kiamat, Ibn Katsir — Bab beberapa contoh rusuhan yang telah dan akan terjadi pada akhir zaman.

Penebus kesalahan

Daripada Abu Barzah RA, dia berkata: "Adalah Rasulullah SAW berkata di akhir apabila Baginda hendak bangun dari majlis: Subhanakallahumma wa bihamdika asyhadu an la ilaha illa anta astaghfiruka wa atubu ilaik (Maha Suci Engkau ya Allah dan segala puji bagi-Mu, saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Engkau, saya memohon ampunan serta bertaubat kepada Engkau). "Kemudian, ada seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, anda mengucapkan suatu ucapan yang anda tidak pernah ucapkan sebelum ini? "Baginda bersabda: Itu sebagai penebus kesalahan-kesalahan yang terjadi di dalam majlis." (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim) Huraian — Apabila seseorang mengakhiri majlisnya dengan membaca zikir ini, maka ia akan menjadi penghapus kesalahan senda gurau dan dosa lainnya yang terjadi di dalam majlis. Dan jika hal itu dilakukan dalam suatu majlis, maka ia ibarat orang yang membiasakannya dan itu akan menjadi kebaikan di atas kebaikan.

Ketaatan dan hubung kaitnya

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (ertinya): "Sesiapa mentaatiku, maka dia telah mentaati Allah. Sesiapa menderhaka kepadaku, maka dia menderhaka kepada Allah. Dan sesiapa mentaati seorang pemimpin, maka dia telah mentaatiku. Sesiapa menderhaka terhadap seorang pemimpin, maka dia menderhaka kepadaku." (Sahih Bukhari, Muslim dan Ahmad) Huraian: — Hadis ini menerangkan mengenai kewajipan taat kepada pemimpin dan haramnya menentang mereka.  Firman Allah bermaksud: "Sesiapa mentaati Rasul, sesungguhnya dia telah mentaati Allah. Dan sesiapa berpaling (daripada ketaatan itu), maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka." (Surah an-Nisa, ayat 80)

Umpama bangkai keldai

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah suatu kaum bangun meninggalkan majlis tanpa berzikir kepada Allah Taala padanya melainkan mereka bangun seumpama bangkai keldai dan mereka akan mendapat penyesalan.” (Riwayat Abu Daud) HURAIAN – Disebut bangkai keldai untuk lebih menekankan agar perbuatan itu dijauhi dan sebagai isyarat bahawa meninggalkan zikir seumpama dengan keldai dalam hal kebodohan. Sebabnya dia lalai berzikir kepada Allah lantaran kesombongan dan nikmatnya berbincang-bincang.

Hak orang berhak

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu bangun dari (tempat duduk) suatu majlis, kemudian dia kembali ke tempatnya, maka dia lebih berhak dengannya (tempatnya tadi).” (Riwayat Muslim) HURAIAN – Hadis ini menunjukkan sesiapa meninggalkan tempat duduknya kerana suatu keuzuran, kemudian dia kembali lagi ke tempat duduknya tadi, maka dia lebih berhak, sama ada dia meninggalkan barang di situ atau tidak.

Pandang pada hati

Daripada Abu Hurairah, Abdur Rahman bin Shakhr berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh-tubuh kamu dan tidak pula kepada bentuk rupa kamu, tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu. (Hadis riwayat Muslim) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya

Kelebihan Mukmin

Daripada Abu Yahya Suhaib bin Sinan berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sangat menakjubkan keadaan seorang Mukmin. Bahawa semua keadaannya adalah kebaikan baginya dan kebaikan itu tidak dimiliki oleh seorang pun selain orang Mukmin, iaitu apabila dia mendapat kelapangan hidup, dia bersyukur, maka hal itu adalah kebaikan baginya. Apabila dia ditimpa kesulitan, dia bersabar, maka hal itu adalah kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim)

Malaikat sampaikan salam

Daripada Abdullah bin Mas’ud, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang selalu berjalan di muka bumi, menyampaikan kepadaku salam daripada umatku. (Sunan Darimi)