Langkau ke kandungan utama

Menahan diri daripada kejahatan adalah sedekah

Daripada Abu Musa RA meriwayatkan, daripada Nabi SAW yang bersabda: Setiap muslim mempunyai kewajipan untuk bersedekah.

Abu Musa bertanya: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak mendapati sesuatu untuk disedekahkan?

Baginda menjawab: Hendaklah dia bekerja dengan kedua-dua tangannya untuk dapat memberi manfaat kepada dirinya sendiri dan supaya dia dapat bersedekah.

Dia bertanya lagi: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak mampu melakukannya?

Baginda menjawab: Hendaklah dia membantu orang yang memerlukan bantuan.

Dia bertanya lagi: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak dapat melakukannya?

Baginda menjawab: Hendaklah dia menyuruh kebaikan atau hal yang baik.

Dia bertanya lagi: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak melakukan hal itu?

Baginda menjawab: Hendaklah dia menahan diri daripada melakukan kejahatan, maka sesungguhnya ia adalah sedekah. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

PENJELASAN

Hadis ini mengandungi motivasi untuk berusaha mendapatkan sesuatu yang menjadi keperluan manusia berupa makanan, minuman dan pakaian agar dia dapat menjaga mukanya daripada orang lain (tidak meminta-minta) dan berusaha mendapatkan sesuatu yang dapat digunakan untuk bersedekah agar dapat meraih pahala yang agung.

Intisari hadis — Keutamaan membantu orang memerlukan dan terpaksa. Allah sentiasa membantu seorang hamba selagi dia berkenan membantu saudaranya.

Keutamaan menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Menahan diri daripada kejahatan adalah suatu sedekah.

Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 138

Catatan popular daripada blog ini

Tidak terbalas jasa ibu bapa

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang anak tidak akan dapat membalas (jasa, kebaikan) ibu bapanya, kecuali apabila dia (anak itu) mendapatinya (ibu bapanya) sebagai hamba, maka dia (anak itu) membelinya (ibu bapanya) lantas memerdekakannya. (Diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan betapa agungnya hak orang tua (ibu bapa) dan seorang anak meskipun berbakti dengan apa pun, tidak akan dapat menandingi jasa orang tuanya, kecuali dengan memerdekakan orang tuanya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

3 sikap orang beriman

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tamunya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung rahimnya (hubungan kekeluargaan, persaudaraan). Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam saja. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini menjelaskan keutamaan tiga perkara; memuliakan tetamu, menjaga hubungan kekeluargaan / persaudaraan dan berkata dengan suatu yang baik. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

Anjuran berbuat baik sesama jiran tetangga

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Wahai wanita-wanita muslimat, janganlah seorang jiran tetangga menghina jiran tetangganya yang lain, sekalipun yang dihadiahkan berupa kaki kambing. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi anjuran agar melakukan perbuatan baik antara jiran tetangga walaupun sedikit. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 248