Langkau ke kandungan utama

Catatan

Tunjukkan catatan dari September, 2023

Punca doa tidak diterima

Daripada Hudzaifah meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman kekuasaan-Nya, perintahkanlah oleh kamu dengan kebaikan dan cegah kemungkaran atau jika tidak, maka sungguh hampir-hampir saja Allah akan menurunkan seksa kepada kamu, kemudian kamu berdoa kepada-Nya, tetapi doa kamu tidak akan diterima. (Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi. Dia berkata hadis ini [status] hasan) PENJELASAN Hadis ini mengisyaratkan apabila kemungkaran tidak diingkari, maka kesialan akan menyeluruh berupa kezaliman penguasa atau dikuasai musuh dan sebagainya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 180.

Seburuk-buruk penggembala tiada belas kasihan

Daripada Abu Said al-Hasan al-Basri meriwayatkan bahawa Aidz (baca ‘Aa-idz) bin Amr masuk ke tempat Ubaidullah bin Ziyad, maka berkata: Hai anakku, saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya seburuk-buruk penggembala (pemelihara) ialah orang tidak memiliki belas kasihan, maka janganlah kamu termasuk golongan mereka. Maka (selanjutnya Ubaidullah bin Ziyad) berkata kepadanya: Duduklah, sesungguhnya kamu termasuk sisa-sisa daripada golongan sahabat Muhammad SAW. Maka dia (Aidz) berkata: Apakah dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW ada yang termasuk golongan sisa-sisa? Yang termasuk sisa-sisa semestinya ialah orang-orang pada masa selepas mereka (sahabat) dan yang bukan daripada mereka (sahabat). (Diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Perintah terhadap pemimpin untuk melakukan perkara makruf (baik) dan mencegah mereka daripada kemungkaran secara halus. Hadis ini juga menggambarkan keutamaan para sahabat. Dalam satu hadis yang masyhur disebutkan: Para sahabatku bagaikan...

Bara api di tangan

Daripada Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melihat cincin emas pada jari seorang lelaki, lalu baginda melepaskannya dan melemparkannya, dan bersabda: Seorang daripada kamu sengaja mencari bara api dari neraka, lalu dia menjadikannya di tangannya. Maka, setelah Rasulullah SAW pergi dikatakan kepada lelaki terbabit: Ambillah cincinmu, manfaatkan dengannya. Lelaki terbabit menjawab: Tidak, demi Allah, saya tidak akan mengambilnya selama-lamanya. Sesungguhnya ia telah dilemparkan oleh Rasulullah SAW. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 179.

5 hak jalan

Daripada Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Hindarilah kamu daripada duduk-duduk di jalanan. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami tidak dapat menghindari daripada duduk-duduk di sini kerana kami berbincang-bincang di sini. Maka, Rasulullah SAW bersabda: Jika kamu masih tetap ingin duduk-duduk di situ, maka berikanlah hak jalan. Mereka bertanya: Apakah hak jalan, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Hak jalan iaitu menundukkan pandangan, menahan diri daripada mengganggu, menjawab salam, menyuruh perbuatan makruf (baik) dan mencegah kemungkaran. (Muttafaq alaih) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 178.

Binasa apabila banyak berlaku keburukan

Daripada Ummul Mukminin Ummul Hakam Zainab binti Jahsy RAnha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW masuk ke rumahnya dalam keadaan panik, lalu mengucapkan: La ilaaha illallaah. Kecelakaan bagi bangsa Arab, kerana adanya keburukan yang telah dekat. Pada hari itu penutup Yakjuj dan Makjuj telah terbuka seperti ini. Dan baginda membentukkan bulatan dengan kedua-dua jarinya yakni ibu jari dan jari sebelahnya (jari telunjuk). Maka, saya bertanya, wahai Rasulullah, apakah kami akan binasa, sedangkan dalam kalangan kami masih ada orang-orang soleh? Baginda menjawab: Ya, apabila keburukan itu telah banyak. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ahmad) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 178.

Umpama dua kumpulan dalam sebuah kapal

Daripada an-Nu’man bin Basyir RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Perumpamaan orang yang berdiri untuk mencegah larangan-larangan Allah dan orang yang melanggar larangan-larangan-Nya adalah bagaikan suatu kaum yang melakukan pemilihan di dalam sebuah kapal. Sehingga sesetengah daripada mereka berada di bahagian atas kapal, sedangkan sesetengah yang lainnya berada di bahagian bawah kapal. Orang-orang yang berada di bahagian bawah kapal apabila hendak mengambil air, tentu saja melalui orang-orang yang berada di atasnya, maka mereka berkata, “bagaimana seandainya kita membuat lubang saja di bahagian bawah kita ini, tentu tidak mengganggu orang berada di atas kita”. Maka, jika orang di bahagian atas membiarkan orang di bahagian bawah melakukan kehendaknya, pasti mereka akan binasa semua. Tetapi jika (orang di bahagian atas) mencegah tangan orang di bahagian bawah, tentu mereka selamat dan selamat semuanya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari) PENJELASAN Hadis ini menunju...

Tiada iman walau sebesar biji sawi

Daripada Ibnu Mas’ud RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang nabi pun diutuskan oleh Allah sebelum saya melainkan dia mempunyai beberapa kekasih pembela dan beberapa sahabat daripada kalangan umatnya, yang mengambil teladan dengan sunahnya serta mengikuti perintahnya. Kemudian, selepas mereka ini akan digantikan oleh beberapa pengganti yang suka mengatakan apa yang tidak mereka lakukan dan mereka melakukan apa yang mereka tidak diperintahkan. Maka, sesiapa berjuang melawan mereka dengan tangannya, maka dia adalah seorang mukmin. Sesiapa berjuang melawan dengan lisannya, dia juga seorang mukmin. Dan sesiapa berjuang melawan mereka dengan hatinya, dia juga seorang mukmin. Dan selain itu tiada keimanan sekalipun hanya sebiji sawi. (Diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Dalam Sunan Abi Dawud terdapat hadis riwayat daripada Nabi yag bersabda: Apabila suatu kesalahan di bumi diketahui, maka orang yang menyaksikannya lalu dia membenci kesalahan tersebut bererti dia s...

Mengubah kemungkaran mengikut kemampuan

Daripada Abu Said al-Khudri RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa antara kamu melihat suatu kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Maka, jika dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Maka, jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Dan yang demikian itu (yang terakhir itu) selemah-lemah iman. (Diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Hadis ini sebagai bukti kewajipan mengubah kemungkaran sebatas kemampuan. Imam Ahmad berkata: Mengubah dengan tangan bukanlah dengan pedang dan senjata. Beliau juga mengatakan: Manusia memerlukan kesantunan dan kelembutan. Menyuruh berbuat yang makruf (kebaikan) tanpa kekerasan melainkan kepada orang yang menampakkan kefasikannya (kerosakannya), maka tidak ada keharaman kepadanya. Beliau turut menyampaikan: Hendaklah memerintahkan (menyuruh) dengan halus. Jadi, jika mereka mendengar hal yang dibenci (tidak mahu didengar), maka yang berkaitan (subjek terbabit) tidak marah, sehingga dia akan berubah dengan sendirinya. Rujukan/su...

Orang kuat menguasai diri ketika marah

Daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Orang kuat bukan yang menang berlawan. Sesungguhnya orang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) PENJELASAN Dalam hadis ini mengandungi erti pujian terhadap orang dapat menguasai dirinya ketika marah. Firman Allah bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain, dan Allah mencintai orang berbuat kebaikan.” (Surah Ali-Imran, 134) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 70/71.

Orang dikehendaki kebaikan, keburukan

Anas berkata: Rasulullah SAW bersabda: Jika Allah menghendaki kebaikan pada seseorang hamba-Nya, maka Dia mempercepatkan seksanya di dunia. Tetapi jika Allah menghendaki keburukan pada seseorang hamba-Nya, maka Dia membiarkannya dengan melakukan dosanya, sehingga nanti akan dipenuhkan seksanya di hari kiamat. Dan Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya besarnya pahala setimpal besarnya ujian, dan sesungguhnya Allah apabila mencintai sesuatu kaum, maka Dia akan memberi ujian kepada mereka. Oleh kerana itu, sesiapa yang rela menerimanya, dia akan memperoleh keredaan daripada Allah dan sesiapa yang marah-marah, maka dia memperoleh kemurkaan Allah. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia mengatakan hadis ini [statusnya] hasan sahih) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 68.

Bersabar, usah tergesa-gesa

Daripada Abu Abdullah Khabbab bin al-Aratt berkata: Kami mengadu kepada Rasulullah SAW ketika itu baginda bersandar pada jubahnya di bawah naungan Kaabah. Maka, kami berkata: Mengapa anda tidak memohonkan pertolongan untuk kita, sehingga kita menang? Mengapa anda tidak berdoa untuk kita? Baginda bersabda: Pernah terjadi pada orang-orang sebelum kamu seseorang ditangkap, kemudian digalikan tanah untuknya dan dia diletakkan di dalam kubang tersebut, kemudian diambilkan satu gergaji dan diletakkan di atas kepalanya, kemudian kepalanya dibelah menjadi dua. Selain itu, dia pun disisir dengan sisir dibuat daripada besi yang dikenakan di bawah daging dan tulangnya. Semua seksaan ini tidak memalingkannya daripada agamanya. Demi Allah, pastilah Allah akan menyempurnakan hal ini, sehingga seseorang yang berkenderaan dari Sana’a ke Hadhramaut tidak ada yang ditakuti melainkan Allah atau kerana takut pada serigala atas kambingnya. Namun kamu semua tergesa-gesa. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari) ...

Jangan mengharapkan kematian

Daripada Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda: Jangan seseorang antara kamu mengharapkan datang kematian kerana suatu mudarat yang menimpanya. Jika memang dia terpaksa harus berbuat demikian, maka hendaklah dia mengatakan: Wahai Allah, tetapkanlah saya hidup selama kehidupan baik untukku dan matikanlah saya apabila kematian yang memang baik untukku. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) PENJELASAN Dalam hadis ini terdapat larangan mengharapkan kematian oleh kerana cubaan duniawi. Tetapi hendaklah bersabar atas takdir Allah dan memohon keselamatan kepada-Nya serta menyerahkan urusannya kepada Allah. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 66

Musibah

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Allah memberikan musibah padanya. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari) PENJELASAN Allah berfirman, maksudnya: Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buahan, dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah, 155) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 65

Cintai saudara

Daripada Anas meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya hal-hal yang dia cintai untuk dirinya sendiri. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 172

Agama adalah nasihat

Daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus ad-Dari meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Agama adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda berkata: Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi rasul-Nya, bagi pemimpin-pemimpin muslimin serta bagi umat Islam secara umum. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 171/172

Sesiapa mengada-adakan, tertolak

Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kita ini sesuatu yang tidak termasuk bahagian daripadanya (agama), maka dia tertolak. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) PENJELASAN Dalam riwayat Imam Muslim juga disebutkan: Sesiapa melakukan suatu amalan yang tiada ada perintah daripada kami ke atasnya (amalan itu), maka dia tertolak. Hadis ini termasuk dasar dan kaedah agama. Oleh kerana itu, hadis ini dijadikan dalil untuk membatalkan akad-akad yang dilarang dan menolak hal-hal yang baru dan hal-hal dilarang. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 163

Umpama belalang dan kupu-kupu jatuh ke dalam api

Foto Unsplash Daripada Jabir RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan saya dan perumpamaan kamu semua adalah bagaikan seorang lelaki yang menyalakan api, kemudian banyak belalang dan kupu-kupu jatuh ke dalam api, sedangkan orang itu mencegahnya jangan masuk ke situ. Dan saya adalah seorang yang merintangi kamu semua dari neraka. Tetapi kamu masih juga hendak lepas daripada pegangan saya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Nabi SAW menyerupakan jatuhnya orang-orang jahil dan orang-orang yang menyimpang dengan melakukan kemaksiatan dan (menuruti) syahwat mereka ke dalam neraka serta semangat mereka untuk tercebur ke dalamnya, padahal Nabi telah mencegah mereka bagaikan jatuhnya kupu-kupu ke dalam api lantaran keinginannya dan lemah fikirannya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 157

Umpama bumi disirami hujan

Foto Freepik Daripada Abu Musa RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya perumpamaan petunjuk dan ilmu yang saya diutus oleh Allah untuk membawanya ialah bagaikan hujan yang menyirami bumi. Di antara bumi ada bahagian yang baik. Tanah bahagian ini dapat menerima air, sehingga ia dapat menumbuhkan rumput dan lalang yang banyak sekali, dan di antara bumi ada pula yang gersang. Tanah bahagian ini dapat menahan air. Maka, Allah memberikan manfaat kepada manusia dengan tanah ini, kerana mereka dapat minum daripadanya, dapat menyiram dan menanam. Ada pula hujan menyiram bahagian bumi yang lain. Tanah ini hanyalah merupakan tanah rata lagi licin, tidak dapat menahan air dan tidak dapat menumbuhkan rumput. Jadi, itulah perumpamaan orang yang pandai dalam agama Allah dan dapat pula memberikan manfaat dengan apa yang saya diutus oleh Allah untuk membawanya, lalu dia dapat memahami dan mengajarkannya, dan perumpamaan orang yang enggan mengangkat kepala untuk menerima petunjuk ...

Hendaklah menyamakan saf

Daripada Abu Abdillah an-Nukman bin Basyir RA meriwayatkan: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, hendaklah kamu benar-benar meratakan (menyamakan) saf kamu, atau Allah akan membalikkan antara wajah-wajah kamu semua. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) Dalam riwayat Muslim disebutkan: Rasulullah SAW meratakan saf-saf kami sehingga baginda seakan-akan meratakan letaknya anak panah sehingga baginda meyakinkan bahawa kami semua telah mengerti mengenainya. Kemudian, pada suatu hari baginda keluar, lalu baginda berdiri sehingga hampir baginda bertakbir, tiba-tiba baginda melihat seorang lelaki yang menonjolkan dadanya, lalu baginda bersabda: Hai hamba-hamba Allah, hendaklah kamu semua benar-benar meratakan saf-saf kamu semua atau Allah membalikkan antara wajah-wajah kamu semua. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 155

Makan dengan tangan kanan

Daripada Abu Muslim, dan ada dikatakan Abi Iyas Salamah bin Amr bin Al-Akwa RA, meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah SAW dengan tangan kirinya. Kemudian baginda bersabda: Makanlah dengan tangan kananmu. Orang itu berkata: Aku tidak dapat. Baginda bersabda: Kamu tidak akan dapat. Tidak ada yang mencegahnya melakukan hal itu kecuali kerana kesombongannya. Akhirnya dia tidak dapat mengangkat tangan kanannya ke mulutnya. (Hadis diriwayatkan Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi pensyariatan makan dengan tangan kanan. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 155

Semua masuk syurga kecuali orang yang tidak mahu

Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Semua umatku masuk syurga, melainkan orang yang enggan. Baginda ditanya: Siapakah orang yang enggan, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Sesiapa yang taat kepadaku, maka dia masuk syurga, dan sesiapa yang derhaka kepadaku, maka dia enggan. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari) PENJELASAN Hadis mengandungi khabar gembira buat umat ini iaitu akan masuk syurga, melainkan mereka yang enggan iaitu mereka yang menderhaka kepada Rasulullah. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 154

Biarkan yang tidak dijelaskan, usah banyak bertanya

Daripada Abu Hurairah RA, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Biarkan apa yang tidak saya jelaskan kepada kamu sekalian, kerana sesungguhnya yang membinasakan umat-umat dahulu ialah banyak pertanyaan mereka dan perselisihan mereka dengan nabi-nabi mereka. Maka, apabila saya melarang kamu sekalian daripada sesuatu, maka jauhinya, dan apabila saya menyuruh kamu sekalian dengan sesuatu, maka lakukan mengikut kemampuan kamu sekalian. (Muttafaq alaih — Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi sababul wurud (sebabnya) iaitu suatu ketika Nabi SAW berkhutbah dan baginda berkata: Wahai manusia! Sungguh, Allah telah mewajibkan kamu semua ibadat haji. Oleh itu lakukan ibadat. Lantas seorang lelaki bertanya: “Apakah setiap tahun, wahai Rasulullah?” Baginda terdiam, sehingga lelaki terbabit mengatakannya berulang kali. Kemudian Rasulullah bersabda: “Andai saya berkata ya, pasti menjadi wajib dan kamu semua tidak akan mampu.” Kemudian bagi...

Menggantikan solat malam di siang hari

Daripada Aisyah RAnha berkata, Rasulullah SAW apabila tidak melakukan solat malam, kerana sakit atau selainnya, maka baginda melakukan solat di siang hari sebanyak 12 rakaat. (Hadis diriwayatkan Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi dalil menggantikan solat malam, demikian juga seluruh solat sunat. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 150

Beribadat secara berterusan

Daripada Abdullah bin Amr bin al-As RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Wahai Abdullah, jangan kamu seperti polan (seseorang). Adalah dia selalu melakukan qiyamullail (ibadat malam), kemudian dia tidak melakukan qiyamullail lagi. (Muttafaq alaih — Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi sunah melakukan amalan baik yang telah dijadikan kebiasaan secara berterusan. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 150

Dicatat seperti malam hari meski dilakukan di siang hari

Daripada Umar bin al-Khattab RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa tidur tertinggal daripada membaca wiridnya di waktu malam atau tertinggal sesuatu daripadanya, maka dia membacanya antara solat Fajar dan Zuhur, dicatat baginya sebagaimana dia membacanya pada waktu malam. (Diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Hadis mengandungi dalil setiap wirid yang tertinggal dan tidak dilakukan seseorang, maka Allah akan memberinya pahala sempurna apabila dia menggantikannya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 149

Abu Israil dan nazarnya

Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Pada suatu ketika Nabi SAW sedang berkhutbah, tiba-tiba ada seorang lelaki yang berdiri, maka Nabi bertanya mengenai lelaki terbabit. Para sahabat menjawab: Dia ialah Abu Israil. Dia bernazar hendak berdiri di terik matahari, tidak akan duduk, tidak akan berteduh, tidak akan berbicara, dan tetap akan berpuasa. Maka, Nabi bersabda: Perintahkan dia supaya berbicara, berteduh, duduk dan hendaklah dia menyempurnakan puasanya. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan orang mendekatkan diri kepada Allah dengan perbuatan yang tidak dianggap ibadat oleh Allah, maka dia tidak wajib melakukannya meskipun dia bernazar melakukannya. Sesiapa bernazar suatu ibadat yang disyariatkan, maka dia wajib melakukannya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 148

Binasa orang memberatkan diri

Daripada Ibnu Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Binasa orang-orang yang memberat-beratkan diri. Baginda bersabda mengenainya tiga kali. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 140

Menahan diri daripada kejahatan adalah sedekah

Daripada Abu Musa RA meriwayatkan, daripada Nabi SAW yang bersabda: Setiap muslim mempunyai kewajipan untuk bersedekah. Abu Musa bertanya: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak mendapati sesuatu untuk disedekahkan? Baginda menjawab: Hendaklah dia bekerja dengan kedua-dua tangannya untuk dapat memberi manfaat kepada dirinya sendiri dan supaya dia dapat bersedekah. Dia bertanya lagi: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak mampu melakukannya? Baginda menjawab: Hendaklah dia membantu orang yang memerlukan bantuan. Dia bertanya lagi: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak dapat melakukannya? Baginda menjawab: Hendaklah dia menyuruh kebaikan atau hal yang baik. Dia bertanya lagi: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak melakukan hal itu? Baginda menjawab: Hendaklah dia menahan diri daripada melakukan kejahatan, maka sesungguhnya ia adalah sedekah. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi motivasi untuk berusaha mendapatkan sesuatu yang menja...

Allah reda seseorang makan, minum lalu memuji-Nya

Daripada Anas RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah akan reda seorang hamba yang memakan suatu makanan, kemudian dia memuji kepada Allah atas makanan dimakannya ataupun meminum suatu minuman, kemudian dia memuji kepada Allah atas minuman diminumnya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi keutamaan bertahmid (memuji Tuhan) ketika makan dan minum. Ini termasuk kemurahan Allah. Allah memberikan kurniaan kepada kamu berupa rezeki dan meredaimu kerana pujian diucapkan. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 137