Langkau ke kandungan utama

Inilah Kautsar

Dalam Sahih Muslim ada riwayat: Daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ketika aku berjalan dalam syurga, maka terlihatlah olehku sebatang sungai yang kedua-dua tepinya berupa kubah-kubah mutiara berongga. Aku bertanya, “apa ini?” Maka, jawab Jibril, “inilah Kautsar yang Tuhan berikan kepadamu”.

Dalam manaqib (biografi) Umar RA, disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Aku dimasukkan ke dalam syurga, maka aku melihat seorang wanita sedang berwuduk dalam sebuah istana. Aku bertanya kepada dia: “Kamu ini milik siapa?” Wanita itu menjawab: “Aku milik Umar bin Khattab RA.” Aku hendak masuk ke dalam istana itu, kata Rasul, tetapi teringat oleh aku kecemburuanmu. (Mendengar itu) Umar RA menangis, lalu berkata: Layakkah saya mencemburui anda, wahai Rasulullah!

Hadis ini ada dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, diriwayatkan daripada Jabir RA.

Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, Ibn Katsir, 569-570

Catatan popular daripada blog ini

Tidak terbalas jasa ibu bapa

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang anak tidak akan dapat membalas (jasa, kebaikan) ibu bapanya, kecuali apabila dia (anak itu) mendapatinya (ibu bapanya) sebagai hamba, maka dia (anak itu) membelinya (ibu bapanya) lantas memerdekakannya. (Diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan betapa agungnya hak orang tua (ibu bapa) dan seorang anak meskipun berbakti dengan apa pun, tidak akan dapat menandingi jasa orang tuanya, kecuali dengan memerdekakan orang tuanya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

3 sikap orang beriman

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tamunya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung rahimnya (hubungan kekeluargaan, persaudaraan). Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam saja. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini menjelaskan keutamaan tiga perkara; memuliakan tetamu, menjaga hubungan kekeluargaan / persaudaraan dan berkata dengan suatu yang baik. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

Anjuran berbuat baik sesama jiran tetangga

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Wahai wanita-wanita muslimat, janganlah seorang jiran tetangga menghina jiran tetangganya yang lain, sekalipun yang dihadiahkan berupa kaki kambing. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi anjuran agar melakukan perbuatan baik antara jiran tetangga walaupun sedikit. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 248