Langkau ke kandungan utama

Disingkap hijab daripada mereka

Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Suhaib RA bahawa Rasulullah SAW pernah membacakan ayat berikut (maksudnya): “Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik (syurga) dan tambahannya.” (Yunus, 26)

Lalu Rasulullah SAW bercerita: Apabila semua penghuni syurga telah masuk syurga, dan semua penghuni neraka telah masuk neraka, maka terdengarlah suatu seruan: “Wahai sekalian penghuni syurga, sesungguhnya bagimu di sisi Allah ada janji yang akan Dia tunaikan kepadamu.”

“Apa itu, penghuni syurga tertanya-tanya. Bukankah semua amalan (kebaikan) kami telah Engkau jadikan lebih berat? Bukankah telah Engkau jadikan wajah-wajah kami putih berseri! Engkau masukkan kami ke dalam syurga, dan Engkau keluarkan kami dari neraka!”

Rasul bersabda (meneruskan ceritanya): “Lalu disingkapkan hijab daripada mereka, sehingga mereka dapat memandang kepada Allah. Demi Allah, tidak ada sesuatu yang diberikan Allah kepada mereka, yang lebih mereka sukai dan menyenangkan pandangan mata mereka, selain memandang kepada-Nya.”

Demikian pula bunyi hadis diriwayatkan oleh Muslim daripada Hammad bin Salamah.

Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 537

Catatan popular daripada blog ini

Tidak terbalas jasa ibu bapa

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang anak tidak akan dapat membalas (jasa, kebaikan) ibu bapanya, kecuali apabila dia (anak itu) mendapatinya (ibu bapanya) sebagai hamba, maka dia (anak itu) membelinya (ibu bapanya) lantas memerdekakannya. (Diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan betapa agungnya hak orang tua (ibu bapa) dan seorang anak meskipun berbakti dengan apa pun, tidak akan dapat menandingi jasa orang tuanya, kecuali dengan memerdekakan orang tuanya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

3 sikap orang beriman

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tamunya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung rahimnya (hubungan kekeluargaan, persaudaraan). Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam saja. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini menjelaskan keutamaan tiga perkara; memuliakan tetamu, menjaga hubungan kekeluargaan / persaudaraan dan berkata dengan suatu yang baik. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

Anjuran berbuat baik sesama jiran tetangga

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Wahai wanita-wanita muslimat, janganlah seorang jiran tetangga menghina jiran tetangganya yang lain, sekalipun yang dihadiahkan berupa kaki kambing. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi anjuran agar melakukan perbuatan baik antara jiran tetangga walaupun sedikit. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 248