Langkau ke kandungan utama

Indahnya syurga

Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim terdapat riwayat, daripada Rasulullah SAW (ertinya): Perhiasan (yang dipakai) orang Mukmin sampai batas yang dicapai air wuduknya.

Kata Hasan al-Basri: Perhiasan kaum lelaki di syurga lebih indah daripada perhiasan kaum wanita.

Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda (ertinya): Sesiapa masuk syurga, maka dia mendapat kenikmatan tanpa mengalami kesusahan, tidak hancur pakaiannya dan tidak hilang kemudaannya. Dalam syurga terdapat apa-apa yang tidak pernah dilihat mata sesiapa pun, tidak pernah didengar telinga sesiapa pun dan tidak terdetik dalam hati manusia mana pun.

Muslim mengeluarkan hadis di atas sampai dengan kata-kata: “…tidak hancur pakaiannya dan tidak hilang kemudaannya.”

At-Tabrani meriwayatkan daripada Abdullah, bahawa Nabi SAW bersabda (ertinya): Rombongan pertama yang masuk syurga, wajah mereka bagaikan cahaya bulan di malam purnama. Rombongan kedua bagaikan bintang bercahaya yang paling terang di langit. Setiap lelaki daripada mereka diberi dua orang isteri daripada bidadari, yang masing-masing memakai tujuh puluh jenis perhiasan. Sumsum pada betis kedua-duanya kelihatan dari sebalik daging dan perhiasan mereka, sebagaimana minuman berwarna merah boleh dilihat di dalam gelas kaca yang putih.”

Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 517

Catatan popular daripada blog ini

Tidak terbalas jasa ibu bapa

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang anak tidak akan dapat membalas (jasa, kebaikan) ibu bapanya, kecuali apabila dia (anak itu) mendapatinya (ibu bapanya) sebagai hamba, maka dia (anak itu) membelinya (ibu bapanya) lantas memerdekakannya. (Diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan betapa agungnya hak orang tua (ibu bapa) dan seorang anak meskipun berbakti dengan apa pun, tidak akan dapat menandingi jasa orang tuanya, kecuali dengan memerdekakan orang tuanya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

3 sikap orang beriman

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tamunya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung rahimnya (hubungan kekeluargaan, persaudaraan). Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam saja. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini menjelaskan keutamaan tiga perkara; memuliakan tetamu, menjaga hubungan kekeluargaan / persaudaraan dan berkata dengan suatu yang baik. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

Anjuran berbuat baik sesama jiran tetangga

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Wahai wanita-wanita muslimat, janganlah seorang jiran tetangga menghina jiran tetangganya yang lain, sekalipun yang dihadiahkan berupa kaki kambing. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi anjuran agar melakukan perbuatan baik antara jiran tetangga walaupun sedikit. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 248