Langkau ke kandungan utama

Cawan-cawannya sebanyak bintang di langit

Dalam sahih Bukhari dan sahih Muslim ada diriwayatkan daripada Sahl, bahawa ketika Rasulullah membahagikan ghanimah (harta rampasan perang) Hunain, baginda memberikan kepada beberapa orang tokoh Quraisy dan kabilah Arab yang lain, sehingga ada sebahagian sahabat Ansar yang marah. Baginda SAW pun berpidato, antara lain baginda bersabda: Sesungguhnya kamu sekalian sepeninggalanku akan melihat atsarah (sikap mementingkan diri sendiri), maka bersabarlah kamu sekalian, sehingga bertemu denganku di perigi (al-haudh).

Al-Bukhari meriwayatkan pula pada bab al-Haudh dalam sahihnya, daripada Ibnu Abbas, dia berkata: Al-Kautsar maksudnya ialah kebaikan yang banyak, yang diberikan oleh Allah kepada Rasulullah.

Abu Bisyr mengatakan: Aku pernah bertanya kepada Said bin Jabir, sesungguhnya ada sebahagian orang yang beranggapan bahawa al-Kautsar itu ialah sungai dalam syurga? Said menegaskan: Dari al-Kautsar ke perigi ada dua pancuran diperbuat daripada emas dan perak.

Al-Bukhari meriwayatkan pula daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya di hadapanku ada perigi seluas antara Jarba dan Adzruh.

Al-Bukhari juga meriwayatkan, Abdullah bin Amr bin As, meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: Perigiku seluas perjalanan sebulan. Airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada minyak kasturi, cawan-cawannya sebanyak bintang-bintang di langit. Sesiapa meminum dari perigi itu, maka dia tidak akan terasa dahaga selama-lamanya.

Al-Bukhari meriwayatkan: Abdullah bin Mas’ud, bahawa Nabi SAW bersabda: Aku menunggu kamu sekalian di perigi.

Nota: Jarba ialah nama suatu tempat di wilayah Amman di Balqa Syam, dekat gunung Surah sebelah tanah Hijaz (Mu’jam Buldan).

Rujukan/sumber – Huru-Hara Hari Kiamat, 286/287

Catatan popular daripada blog ini

Tidak terbalas jasa ibu bapa

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang anak tidak akan dapat membalas (jasa, kebaikan) ibu bapanya, kecuali apabila dia (anak itu) mendapatinya (ibu bapanya) sebagai hamba, maka dia (anak itu) membelinya (ibu bapanya) lantas memerdekakannya. (Diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan betapa agungnya hak orang tua (ibu bapa) dan seorang anak meskipun berbakti dengan apa pun, tidak akan dapat menandingi jasa orang tuanya, kecuali dengan memerdekakan orang tuanya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

3 sikap orang beriman

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tamunya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung rahimnya (hubungan kekeluargaan, persaudaraan). Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam saja. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini menjelaskan keutamaan tiga perkara; memuliakan tetamu, menjaga hubungan kekeluargaan / persaudaraan dan berkata dengan suatu yang baik. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

Anjuran berbuat baik sesama jiran tetangga

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Wahai wanita-wanita muslimat, janganlah seorang jiran tetangga menghina jiran tetangganya yang lain, sekalipun yang dihadiahkan berupa kaki kambing. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi anjuran agar melakukan perbuatan baik antara jiran tetangga walaupun sedikit. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 248