Langkau ke kandungan utama

Nabi Isa bunuh dajjal

Muslim bin Hajjaj, daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:

Kiamat takkan terjadi sehingga bangsa Rom singgah di Al-A’maq atau di Dabiq. Lalu mereka diserbu oleh tentera dari Madinah yang merupakan penduduk dunia yang terbaik waktu itu. Apabila mereka telah berbaris rapi, maka berkatalah orang-orang Rom: Biarkan kami berperang melawan orang-orang yang telah menawan orang-orang kami. Jawab Muslimin:  Demi Allah, kami takkan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Maka, Muslimin pun menyerbu mereka, lalu ada satu pertiganya yang mundur. Mereka takkan diterima taubatnya oleh Allah SWT selamanya. Ada satu pertiga lagi yang terbunuh, mereka adalah syuhada (orang syahid) yang terbaik di sisi Allah SWT. Sedang satu pertiga yang lain mendapat kemenangan.  Mereka takkan mendapat bencana selama-lamanya. Merekalah yang dapat menakluki Konstantinopel. Namun ketika mereka membahagi-bahagi harta rampasan perang, sementara pedang-pedang mereka digantungkan di pokok zaitun, tiba-tiba syaitan berteriak kepada mereka, bahawa dajjal telah menguasai, menyerang keluarga mereka. Oleh kerana itu mereka pun keluar, padahal itu semua tidak benar. Lalu tatkala mereka memasuki negeri Syam, ternyata dajjal telah keluar (pergi). Tatkala mereka bersiap sedia untuk berperang dan merapatkan barisan, tiba-tiba dikumandangkan iqamatus-solah. Maka, turunlah Nabi Isa bin Maryam, lalu mengimami mereka. Apabila musuh Allah itu melihat Nabi Isa, maka dia meleleh seperti lelehnya garam dalam air. Andaikan dia dibiarkan, tentu akan benar-benar meleleh sehingga mati. Tetapi Allah membunuh dia dengan tangan Nabi Isa. Lalu, nabi Allah itu memperlihatkan kepada Muslimin darah dajjal pada tombak yang dipegangnya.

Rujukan/sumber – Huru-hara Hari Kiamat, 66/67

Catatan popular daripada blog ini

Tidak terbalas jasa ibu bapa

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang anak tidak akan dapat membalas (jasa, kebaikan) ibu bapanya, kecuali apabila dia (anak itu) mendapatinya (ibu bapanya) sebagai hamba, maka dia (anak itu) membelinya (ibu bapanya) lantas memerdekakannya. (Diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan betapa agungnya hak orang tua (ibu bapa) dan seorang anak meskipun berbakti dengan apa pun, tidak akan dapat menandingi jasa orang tuanya, kecuali dengan memerdekakan orang tuanya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

3 sikap orang beriman

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tamunya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung rahimnya (hubungan kekeluargaan, persaudaraan). Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam saja. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini menjelaskan keutamaan tiga perkara; memuliakan tetamu, menjaga hubungan kekeluargaan / persaudaraan dan berkata dengan suatu yang baik. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

Anjuran berbuat baik sesama jiran tetangga

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Wahai wanita-wanita muslimat, janganlah seorang jiran tetangga menghina jiran tetangganya yang lain, sekalipun yang dihadiahkan berupa kaki kambing. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi anjuran agar melakukan perbuatan baik antara jiran tetangga walaupun sedikit. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 248