Langkau ke kandungan utama

Beriman, beristiqamah

Daripada Abu ‘Amru — ada dikatakan Abi ‘Amrah Sufyan bin Abdullah RA, dia berkata: Saya bertanya, wahai Rasullah, katakanlah padaku mengenai Islam suatu pernyataan yang tidak akan saya tanyakan lagi kepada seseorang selain engkau.

Rasulullah SAW menjawab: “Katakanlah, saya beriman kepada Allah, kemudian istiqamah (tetap teguh).” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 102 & 103

Huraian:

Hadis ini menghimpunkan makna Islam dan iman secara keseluruhan. 

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah al-Ahqaf, ayat 13 — Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1347)

Dalam keterangan diberikan tafsir itu: Setelah Tuhan menerangkan fahaman dan amalan yang salah dan terpesong, maka dengan ayat ini dan yang berikutnya, Tuhan menyatakan cara orang-orang yang baik amalannya dan bahagia balasannya. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1347)

Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (Surah Fussilat, ayat 30 — Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1271 & 1272)

Keterangan dalam tafsir itu: Setelah menerangkan perihal orang-orang kafir dan balasannya, maka dalam ayat ini dan ayat berikutnya, Allah Taala menerangkan perihal orang-orang beriman dan balasan yang sebaik-baiknya yang akan diberikan kepada mereka di dunia dan di akhirat. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1272)

Menurut Riyadus Solihin, sesetengah ulama ahli makrifat (ahli ilmu mengenai Allah) berkata: Rujukan istiqamah (tetap teguh) kepada dua hal, iaitu kebenaran iman kepada Allah dan mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah sama ada lahir mahupun batin.

Nabi SAW pernah bersabda: Istiqamah (tetap teguh) dan jangan menghitung-hitung (amalan baikmu). Ketahuilah bahawa sebaik-baik amalan perbuatan kamu ialah solat dan tidak ada yang memelihara wuduk melainkan orang Mukmin (beriman). (Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 103) 

Catatan popular daripada blog ini

Tidak terbalas jasa ibu bapa

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang anak tidak akan dapat membalas (jasa, kebaikan) ibu bapanya, kecuali apabila dia (anak itu) mendapatinya (ibu bapanya) sebagai hamba, maka dia (anak itu) membelinya (ibu bapanya) lantas memerdekakannya. (Diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan betapa agungnya hak orang tua (ibu bapa) dan seorang anak meskipun berbakti dengan apa pun, tidak akan dapat menandingi jasa orang tuanya, kecuali dengan memerdekakan orang tuanya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

3 sikap orang beriman

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tamunya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung rahimnya (hubungan kekeluargaan, persaudaraan). Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam saja. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini menjelaskan keutamaan tiga perkara; memuliakan tetamu, menjaga hubungan kekeluargaan / persaudaraan dan berkata dengan suatu yang baik. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

Anjuran berbuat baik sesama jiran tetangga

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Wahai wanita-wanita muslimat, janganlah seorang jiran tetangga menghina jiran tetangganya yang lain, sekalipun yang dihadiahkan berupa kaki kambing. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi anjuran agar melakukan perbuatan baik antara jiran tetangga walaupun sedikit. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 248