Langkau ke kandungan utama

Catatan

Tunjukkan catatan dari Januari, 2024

3 sikap orang beriman

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tamunya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung rahimnya (hubungan kekeluargaan, persaudaraan). Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam saja. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini menjelaskan keutamaan tiga perkara; memuliakan tetamu, menjaga hubungan kekeluargaan / persaudaraan dan berkata dengan suatu yang baik. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

Tidak terbalas jasa ibu bapa

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang anak tidak akan dapat membalas (jasa, kebaikan) ibu bapanya, kecuali apabila dia (anak itu) mendapatinya (ibu bapanya) sebagai hamba, maka dia (anak itu) membelinya (ibu bapanya) lantas memerdekakannya. (Diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan betapa agungnya hak orang tua (ibu bapa) dan seorang anak meskipun berbakti dengan apa pun, tidak akan dapat menandingi jasa orang tuanya, kecuali dengan memerdekakan orang tuanya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

3 amalan lebih disukai Allah

Daripada Abu Abdur Rahman Abdullah bin Mas’ud RA berkata: Saya pernah bertanya kepada Nabi SAW: Yang manakah amalan yang lebih disukai (atau lebih dicintai) di sisi Allah Taala? Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Saya berkata: Kemudian, yang mana lagi? Baginda bersabda: Berbuat baik terhadap ibu bapa. Saya berkata: Kemudian, yang mana lagi? Baginda bersabda: Jihad pada jalan Allah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini menjadi bukti bahawa solat pada waktunya adalah suatu keutamaan dan berbakti kepada orang tua (ibu bapa) lebih utama daripada jihad. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

Berbuat baik sesama sahabat, jiran tetangga

Daripada Abdullah bin Amru RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sebaik-baik sahabat di sisi Allah Taala ialah yang terbaik antara mereka kepada sahabatnya, dan sebaik-baik jiran tetangga di sisi Allah Taala ialah yang terbaik antara mereka terhadap jiran tetangganya. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis [status] hasan) PENJELASAN Hadis ini mengandungi anjuran berbuat baik sesama sahabat dan jiran tetangga. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 250

Anjuran berbuat baik sesama jiran tetangga

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Wahai wanita-wanita muslimat, janganlah seorang jiran tetangga menghina jiran tetangganya yang lain, sekalipun yang dihadiahkan berupa kaki kambing. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi anjuran agar melakukan perbuatan baik antara jiran tetangga walaupun sedikit. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 248

Mendahului jiran tetangga yang dekat

Daripada Aisyah RAnha berkata: Saya berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai dua jiran tetangga, maka kepada yang manakah antara kedua-duanya yang saya beri hadiah? Rasulullah berkata: Kepada yang terdekat pintu antara kedua-duanya dari kamu. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan kaedah mendahului jiran tetangga yang lebih dekat, berbanding yang jauh. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 249

3 sikap mulia orang beriman

Daripada Abu Syuraih al-Khuza’i RA bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah berkata yang baik atau diam saja. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz ini dan diriwayatkan oleh al-Bukhari sebahagiannya). Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 249

Jangan sakiti jiran, muliakan tamu, berkata baik

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka jangan menyakiti jiran tetangganya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tamunya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik atau diam saja. (Muttafaq alaih – Sahih al-Bukhari dan Muslim) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 249

Ancaman terhadap orang ganggu jiran

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman! Dikatakan (ditanya): Siapa, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: (Orang) yang jiran tetangganya tidak berasa aman daripada kejahatannya. (Muttafaq alaih – Riwayat al-Bukhari & Muslim) Dalam riwayat Muslim disebutkan: Tidak akan masuk syurga orang yang jiran tetangganya tidak berasa aman daripada kejahatannya. PENJELASAN Perkataan “bawaa’iq” ( بوائق ) dalam teks hadis di atas diterjemahkan sebagai bermacam-macam tipu daya dan kejahatan. Hadis ini menunjukkan ancaman berat terhadap orang yang menakut-nakutkan jiran tetangga, menipu keluarganya atau harta-bendanya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 248

Besarnya hak jiran tetangga

Daripada Ibnu Umar dan Aisyah RAnhuma berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Jibril sentiasa memberikan wasiat kepadaku mengenai jiran tetangga, sehingga saya menyangka dia akan memasukkannya sebagai ahli waris. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan betapa besarnya hak jiran tetangga, mengambil peduli terhadapnya dan memberi perhatian keadaannya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 247

Fitnah memudaratkan

Daripada Usamah bin Zaid RA daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Saya tidak meninggalkan sepeninggalan saya suatu fitnah iaitu yang lebih memudaratkan ke atas lelaki daripada (fitnah) perempuan. (Muttafaq alaih – Sahih al-Bukhari dan Muslim) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan bahawa fitnah perempuan lebih berat daripada fitnah syahwat yang lain, kerana seorang pasti memerlukan kepada perempuan. Kadangkala cinta kepada wanita menjadikannya melakukan hal yang tidak dibenarkan dan meninggalkan hal bermanfaat baginya, dalam urusan agama mahupun duniawi. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 239

"Jangan kamu menyakiti dia"

Daripada Muaz bin Jabal RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah seorang isteri menyakiti suaminya di dunia, melainkan isteri suami itu daripada bidadari yang membelalak matanya berkata jangan kamu menyakiti dia, kamu dibinasakan oleh Allah. Dia (suami) di dunia hanya sebagai tamu bagimu yang hampir sekali akan berpisah denganmu untuk menemui kami. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis [status] hasan) PENJELASAN Perkataan Arab “ad-dakhil” dalam teks hadis itu diterjemahkan sebagai tamu dan pengunjung. Suami diibaratkan dengan tamu kerana masa tinggal di dunia meskipun lama sebenarnya hanya sebentar dibandingkan dengan di akhirat yang tiada batas waktunya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 239

Suami reda, isteri masuk syurga

Daripada Ummu Salamah RAnha berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa saja perempuan yang meninggal dunia, dan suami reda ke atasnya, dia (perempuan itu) masuk syurga. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis [status] hasan) PENJELASAN Hadis ini mengandungi anjuran agar seorang isteri berusaha melakukan suatu yang diredai oleh suami dan menjauhi hal yang membuatkan suami marah, agar kelak mendapat syurga. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 238/239

Betapa agung hak suami

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sekiranya saya memerintahkan seseorang supaya bersujud kepada seseorang nescaya saya memerintahkan perempuan (isteri) supaya bersujud kepada suaminya. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis [status] hasan sahih) PENJELASAN Diriwayatkan oleh Abu Dawud, daripada Qais bin Sa’d berkata: Saya pernah datang ke daerah Hirah, ternyata saya melihat penduduknya bersujud kepada pasukan berkuda pemberani di antara mereka, lalu saya berkata: “Mestinya Rasulullah yang lebih berhak dijadikan objek sujud.” Selanjutnya saya datang menghadap Rasulullah SAW dan saya berkata: “Sungguh, saya pernah datang ke daerah Hirah, lalu saya lihat penduduknya bersujud kepada pasukan berkuda pemberani di antara mereka, padahal mestinya anda yang lebih berhak dijadikan objek sujud.” Baginda bersabda: “Bagaimana pendapatmu, seandainya kamu melewati kuburanku, apakah kamu akan bersujud kepadaku?” Qai...

Memenuhi keperluan suami

Daripada Abu Ali Thalq bin Ali RA, daripada Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila seorang suami mengajak isterinya bagi (memenuhi) keperluannya, maka dia (isteri) perlu mendatanginya (menerimanya), meskipun pada saat itu isteri ada di dapur. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Nasai — Tirmidzi berkata, hadis ini [status] hasan) PENJELASAN Hadis ini sebagai dalil atas kewajipan mentaati suami dan lebih mendahulukan kepentingan suami daripada kesibukannya sendiri. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 238

Kamu adalah pemimpin

Daripada Ibnu Umar RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap pimpinannya, dan pemerintah adalah pemimpin, dan lelaki adalah pemimpin ke atas keluarga rumahnya, dan wanita (isteri) pemimpin ke atas rumah suaminya dan anaknya, maka setiap kamu pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap pimpinannya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ahmad) PENJELASAN Perkataan “ar-ra’i” dalam teks hadis itu diterjemahkan sebagai pemimpin — yang diberikan kepercayaan menetapkan kebaikan apa yang diamanahkan kepadanya untuk dijaga. Dia adalah orang yang dituntut untuk bersikap adil, melakukan kemaslahatan terhadap suatu yang dijaganya, dan diminta bertanggungjawab apakah dia melaksanakan kewajipan terhadap rakyatnya atau tidak? Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 237

Malaikat melaknati isteri tidak memenuhi ajakan suami

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila suami mengajak wanitanya (isterinya) ke tempat tidurnya namun isteri tidak memenuhi ajakannya, maka suami menjadi marah terhadap isteri, malaikat melaknat isteri sampai pagi. (Muttafaq alaih — sahih al-Bukhari dan Muslim) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 236

Sebaik-baik perhiasan dunia

Daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah perempuan (atau diterjemahkan sebagai isteri) solehah. (Diriwayatkan oleh Muslim) Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 236