Langkau ke kandungan utama

Catatan

Tunjukkan catatan dari Januari, 2023

Sebaik-baik ungkapan, sebaik-baik petunjuk

Daripada Jabir RA berkata: Apabila Rasulullah SAW berkhutbah, maka kedua-dua mata baginda merah padam, suaranya nyaring, kelihatan sangat marah sehingga seakan-akan baginda seorang yang memberikan peringatan kepada para tentera yang mengatakan: (Berhati-hatilah) pagi-pagi ini atau petang musuh akan menyerang kamu. Baginda bersabda: Saya diutus, sedang saya dengan terjadinya kiamat bagaikan dua jari ini. Baginda merapatkan antara jari telunjuk dan jari tengah. Baginda bersabda pula: Amma Ba’du. Maka, sesungguhnya sebaik-baik ungkapan adalah Kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW, sedang seburuk-buruk perkara ialah hal-hal yang diada-adakan dan semua bidaah adalah sesat. Seterusnya baginda bersabda: Saya lebih berhak terhadap setiap mukmin daripada dirinya sendiri. Sesiapa meninggalkan harta, maka harta itu milik keluarganya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau memiliki tanggungan, maka itu adalah kepadaku dan menjadi tanggunganku. (Hadis diriwayatkan ...

"Wahai Allah, ampunilah kaum hamba ini..."

Daripada Abi Abdirrahman Abdillah bin Mas’ud RA berkata: Seakan-akan saya melihat Rasulullah sedang menceritakan tentang seorang nabi di antara para nabi, solawaatullaahi wasalaamuhu alaihim . Nabi itu dipukul oleh kaumnya sampai keluar darah dan nabi itu mengusap darah dari wajahnya sambil mengucapkan “Wahai Allah, ampunilah kaum hamba ini, sebab mereka tidak mengerti”. (Sahih al-Bukhari & Muslim) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 64

"Saya bersabar saja"

Daripada Atha bin Abi Rabah berkata: Ibn Abbas berkata kepadaku, Apakah kamu mahu saya tunjukkan seorang perempuan yang termasuk ahli syurga? Saya berkata: Baiklah. Dia melanjutkan: Perempuan berkulit hitam itu pernah datang kepada Nabi, lalu dia berkata: Sesungguhnya saya diserang oleh penyakit ayan dan kerana (penyakit itu) aurat saya terbuka. Maka, berdoalah kepada Allah untuk saya. Baginda bersabda: Jika engkau mahu, hendaklah bersabar saja dan bagimu syurga, tetapi jika engkau berkehendak, maka saya akan berdoa kepada Allah agar menyembuhkan penyakitmu. Lantas perempuan itu berkata: Saya bersabar saja. Lalu berkata lagi: Sesungguhnya kerana penyakit ini aurat saya terbuka, maka berdoalah kepada Allah agar aurat saya tidak sampai terbuka. Kemudian Nabi mendoakannya. (Sahih al-Bukhari & Muslim) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 63 & 64

Syurga sebagai ganti

Daripada Anas berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman, “jikalau Aku memberi cubaan kepada hamba-Ku dengan melenyapkan kedua-dua benda yang disayanginya, kemudian dia bersabar, maka Aku akan memberikan ganti kepadanya syurga.” Yang dimaksudkan ialah kehilangan kedua-dua matanya. (Hadis diriwayatkan al-Bukhari) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 63

Seperti pahala orang mati syahid

Aisyah meriwayatkan bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW perihal penyakit taun, lalu baginda memberitahukannya, bahawa sesungguhnya dahulu taun merupakan seksaan yang dikirimkan oleh Allah Taala kepada siapa saja yang Dia kehendaki, lalu Allah Taala menjadikannya sebagai rahmat kepada orang-orang Mukmin. Maka, tidak ada seorang hamba pun yang tertimpa taun, kemudian menetap di daerah seraya bersabar dan mengharapkan keredaan daripada Allah serta mengetahui bahawa taun tidak akan menimpanya kecuali telah ditetapkan oleh Allah kepadanya, melainkan dia akan memperoleh seperti pahala orang yang mati syahid. (Hadis diriwayatkan al-Bukhari) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 63

Ganjaran syurga

Daripada Abi Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Allah Taala berfirman, tidak ada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang Mukmin di sisi-Ku ketika Aku mengambil kekasihnya dari penduduk dunia, kemudian dia ikhlas menerima melainkan syurga.” (Hadis diriwayatkan al-Bukhari) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 62

Bersabarlah

Daripada Anas RA berkata: Suatu ketika Nabi berjalan melewati seorang perempuan yang sedang menangis di samping sebuah kubur. Baginda bersabda: “Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah.” Perempuan itu berkata: “Menjauhlah dariku, kerana engkau tidak mengalami musibah sebagaimana musibahku dan engkau tidak mengetahuinya.” Seterusnya dikatakan kepada perempuan itu bahawa yang bersabda tadi adalah Nabi. Lantas dia datang ke rumah Nabi, ternyata di depan pintu itu dia tidak menemui penjaga pintu. Perempuan itu berkata: “Saya memang tidak mengenali anda.” Kemudian baginda bersabda: “Sesungguhnya bersabar itu pada saat permulaan datangnya musibah.” (Sahih al-Bukhari, Muslim & Abu Daud) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 62

Fatimah di saat Nabi tenat

Daripada Anas berkata: Ketika Nabi SAW sakitnya semakin tenat, maka baginda diliputi oleh kesusahan, kemudian Fatimah berkata: “Alangkah beratnya kesusahan dihadapi ayahanda.” Baginda lalu bersabda: “Ayahmu tidak akan mengalami kesusahan lagi sesudah hari ini.” Selanjutnya, setelah baginda wafat, Fatimah berkata: “Aduhai ayahanda, baginda telah memenuhi panggilan Rabbnya. Aduhai ayahanda, syurga Firdaus adalah tempat kediamannya. Aduhai ayahanda, kepada Jibril kita sampaikan berita wafatnya.” Kemudian, setelah baginda dimakamkan, Fatimah berkata pula: “Mengapa hatimu semua berasa tenang dengan menyebarkan tanah di atas makam Rasulullah?” (Hadis diriwayatkan al-Bukhari) Riyadus Solihin & Penjelasannya, 57

Bersyukur dan bersabar

Daripada Abi Yahya Suhaib bin Sinan berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sangatlah menakjubkan keadaan seorang Mukmin. Sesungguhnya semua keadaannya merupakan kebaikan baginya dan kebaikan tersebut tidak dimiliki oleh seorang pun selain orang Mukmin, iaitu apabila dia mendapat kelapangan hidup, lalu dia bersyukur, maka hal itu merupakan kebaikan baginya. “Apabila dia ditimpa kesulitan, lalu dia bersabar, maka hal itu pun merupakan kebaikan baginya.” (Hadis diriwayatkan Muslim) Riyadus Solihin & Penjelasannya, 56

Sesiapa berasa dirinya cukup, akan diberi kekayaan

Daripada Abi Said Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudriyy RA, bahawa ada beberapa orang daripada Ansar meminta-minta kepada Rasulullah, lalu baginda memberikan sesuatu kepada mereka, kemudian mereka meminta lagi dan baginda memberinya lagi, sehingga harta di sisi baginda habis. Seterusnya setelah baginda mendermakan semua harta di tangannya, baginda bersabda: “Apa saja harta yang ada di sisiku, maka tidak sekali-kali akan kusimpan sehingga tidak kuberikan padamu semua. “Sesiapa yang menjaga diri (daripada meminta-minta daripada orang lain) maka dia akan diberi rezeki kepuasan oleh Allah dan sesiapa yang berasa dirinya cukup, maka akan diberi kekayaan oleh Allah, dan sesiapa yang bersabar, maka dia akan diberi kesabaran oleh Allah. “Tiada seorang pun yang dikurniakan suatu pemberian yang lebih baik serta lebih luas daripada kesabaran.” (Sahih al-Bukhari & Muslim) Riyadus Solihin & Penjelasannya, 56

Solat adalah cahaya

Daripada Abi Malik al-Harits bin Asim al-Asy’ari RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Bersuci adalah sebahagian iman, (ucapan) alhamdulillah memenuhi timbangan, (ucapan) subhanallah dan alhamdulillah dapat memenuhi atau mengisi penuh antara langit dan bumi. Solat adalah cahaya, sedekah adalah bukti, sabar adalah cahaya pula, al-Quran dapat menjadi hujah yang membelamu dan dapat pula sebagai hujah yang memberatkanmu. Setiap orang berpagi-pagi, maka ada yang menjual dirinya (kepada Allah) bererti dia membebaskan dirinya sendiri atau merosakkan dirinya sendiri. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim) Riyadus Solihin & Penjelasannya, 55

Kedua-duanya masuk syurga

Daripada Abi Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah tertawa (senang) kepada dua orang. Salah seorang daripada kedua-duanya membunuh yang lainnya, kemudian kedua-duanya masuk syurga. Yang seorang itu berperang di jalan Allah, kemudian dia dibunuh. Selanjutnya Allah menerima taubat atas orang yang membunuhnya tadi, lalu dia masuk Islam dan selanjutnya dia mati syahid. (Sahih al-Bukhari & Muslim) Riyadus Solihin & Penjelasannya, 53

Allah menerima taubat orang bertaubat

Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Andai seorang anak Adam memiliki selembah emas, dia tentu menginginkan memiliki dua lembah, dan tidak akan dapat memenuhi mulutnya melainkan tanah dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat. (Sahih al-Bukhari & Muslim) Riyadus Solihin & Penjelasannya, 52

Seandainya taubat itu dibagikan kepada tujuh puluh orang daripada penduduk Madinah, pasti masih mencukupi...

Daripada Abi Nujaid Imran bin Husoin al-Khuza’i RA bahawa ada seorang perempuan daripada suku Juhainah datang kepada Rasulullah SAW dan dia dalam keadaan hamil, kerana perbuatan zina. Kemudian, dia berkata: Wahai Rasulullah, saya telah melakukan suatu perbuatan yang harus dikenakan had (hukuman had), maka lakukanlah had itu ke atas diriku. Nabi Allah SAW lalu memanggil wali perempuan terbabit, lalu baginda: Berbuat baiklah kepada perempuan ini dan apabila dia telah melahirkan, maka datanglah ke mari. Wali itu melakukan apa yang telah diperintahkan. Kemudian Nabi SAW memerintahkan untuk melaksanakan hukuman itu. Selanjutnya perempuan itu diikatkan dengan pakaiannya, kemudian direjam. Selanjutnya baginda melakukan solat jenazah perempuan itu. Umar berkata kepada baginda: Apakah anda melakukan solat jenazahnya wahai Rasulullah, padahal dia telah berbuat zina? Baginda bersabda: Dia telah bertaubat dengan sungguh-sungguh, seandainya taubatnya itu dibagikan kepada tujuh puluh orang dari...

Kisah seorang yang membunuh 99 orang

Daripada Abi Said Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudriyy RA, bahawa Nabi Allah SAW bersabda: Pernah terjadi kepada umat sebelum kamu seorang yang membunuh sembilan puluh sembilan orang. Lantas dia mencari orang paling alim di muka bumi ini. Lalu dia ditunjukkan agar datang kepada seorang rahib. Dia pun datang kepada rahib itu. Dia mengatakan bahawa dirinya telah membunuh sembilan puluh sembilan orang, apakah masih ada pintu taubat untuknya? Rahib menjawab: Tidak ada. Lalu dia membunuh rahib itu, sehingga orang yang dibunuh olehnya genap seratus orang. Kemudian dia mencari lagi orang paling alim di muka bumi ini, sehingga dia ditunjukkan agar datang kepada seorang lelaki yang alim. Dia berkata kepadanya, bahawa dirinya telah membunuh seratus orang. Apakah masih ada pintu taubat baginya? Orang alim itu menjawab: Ya, masih ada. Siapa yang menghalangi antara seseorang dengan taubatnya! Pergilah ke daerah ini dan ini. Sungguh di daerah itu terdapat orang-orang yang beribadat kepada Allah...

Taubat sebelum terlambat

Daripada Abi Abdirrahman Abdillah bin Umar al-Khattab RA, daripada Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai di tenggorak. (Hadis diriwayatkan oleh Tirmidzi, dan dia mengatakan hadis ini adalah hadis hasan [statusnya]) Riyadus Solihin & Penjelasannya, 38

Bertaubat segera

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa bertaubat sebelum matahari terbit dari arah barat, maka Allah menerima taubatnya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim) Riyadus Solihin & Penjelasannya, 38

Allah Maha Pengampun

Daripada Abi Musa Abdillah bin Qais al-Asy’ari RA meriwayatkan, daripada Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah membuka tangan-Nya (rahmat-Nya) di malam hari, agar orang yang berbuat kesalahan di siang hari bertaubat dan Dia juga membuka tangan-Nya (rahmat-Nya) di siang hari agar orang yang berbuat kesalahan di malam hari bertaubat. Demikian ini terus-menerus sampai terbitnya matahari dari arah barat. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim) Riyadus Solihin & Penjelasannya, 38

Bertaubat 100 kali sehari

Daripada al-Agharr bin Yasar al-Muzani RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah keampunan kepada-Nya. Maka, sesungguhnya saya bertaubat dalam sehari seratus kali. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim) Riyadus Solihin & Penjelasannya, 36

Nabi mohon keampunan lebih 70 kali sehari

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Demi Allah, sesungguhnya saya memohon keampunan kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih daripada tujuh puluh kali. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 36

Kisah tiga orang dengan batu besar menutup mulut gua

Daripada Abi Abdirrahman Abdillah bin Umar al-Khattab RA meriwayatkan: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Ada tiga orang daripada golongan umat sebelum kamu sedang berpergian hingga mereka terpaksa menginap di sebuah gua. Kemudian mereka masuk ke dalamnya. Tiba-tiba sebongkah batu besar jatuh dari gunung, lalu menutup mulut gua itu. Mereka berkata: Tidak ada yang dapat menyelamatkan kamu daripada batu besar ini melainkan jika kamu berdoa kepada Allah dengan perantaraan amalan soleh kamu. Lalu, seorang daripada mereka berdoa: Wahai Allah, saya mempunyai dua orang tua yang sudah tua dan lanjut usia. Saya tidak pernah memberi minum kepada sesiapa pun sebelum kedua-duanya itu, baik kepada keluarga ataupun hamba sahaya. Kemudian, pada suatu hari, saya terlalu jauh mencari kayu bakar, sehingga mereka berdua sudah tidur sebelum saya pulang. Selanjutnya saya memerah susu sebagai minuman untuk kedua-duanya, dan saya mendapati mereka berdua telah tidur. Saya enggan membangunkan mereka dan s...

Catatan kebaikan, keburukan

Dari Abi al-Abbas Abdullah bin Abbas bin Abdul Muttalib meriwayatkan, daripada Rasulullah SAW dalam suatu riwayat yang diceritakan daripada Rabbnya, baginda bersabda: Sesungguhnya Allah mencatat semua kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskan hal itu. Sesiapa berkehendak mengerjakan kebaikan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka Allah Yang Maha Suci dan Tinggi mencatatnya sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan sesiapa berkehendak mengerjakan kebaikan kebaikan, kemudian jadi melakukannya, maka Allah mencatatnya sebagai sepuluh kebaikan di sisi-Nya, hingga berganda menjadi tujuh ratus kali ganda, bahkan lebih, menjadi sangat banyak. Seterusnya, sesiapa yang berkehendak mengerjakan keburukan, kemudian tidak jadi melakukannya, maka Allah mencatatnya sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya, dan sesiapa berkehendak mengerjakan keburukan, kemudian jadi melakukannya, maka Allah mencatatnya sebagai satu keburukan saja di sisi-Nya. (Sahih Bukhari & Muslim) Rujuka...

Kelebihan solat berjemaah

Daripada Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Solat seorang lelaki dengan berjemaah melebihi solatnya di pasar atau rumahya dengan terpaut dua puluh sekian tingkat darjatnya. Hal ini kerana apabila seseorang berwuduk dan melakukannya dengan baik, kemudian datang ke masjid, tidak ada yang mendorongnya ke masjid melainkan untuk solat, dan tidak ada keinginan lain kecuali solat, maka setiap kali dia melangkah kakinya selangkah, melainkan dinaikkan baginya satu darjat dan dilebur daripadanya satu kesalahan sampai dia masuk ke dalam masjid. Apabila dia masuk ke dalam masjid, maka dia memperoleh pahala sebagaimana dalam keadaan solat, selama solat itu yang menyebabkan dia bertahan di dalam masjid, dan para malaikat mendoakan seorang antara kamu agar mendapatkan rahmat, selama dia masih berada di tempat solat. Para malaikat berdoa: Wahai Allah, kasihanilah orang ini. Wahai Allah, ampunilah dia. Wahai Allah, terimalah taubatnya. Hal ini berlangsung selama orang terbabit t...

Kedua-dua masuk neraka

Daripada Abi Bakrah Nufai’ bin al-Harib ats-Tsaqafiyy, bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila dua orang Muslim berhadap-hadapan dengan membawa pedangnya masing-masing, maka yang membunuh dan yang terbunuh masuk neraka. Aku bertanya: Ini yang membunuh (sudah jelas) tetapi bagaimana dengan orang yang terbunuh? Rasulullah menjawab: Sesungguhnya orang yang terbunuh itu ingin juga membunuh kawannya. (Diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 31

Manakah perang fisabilillah?

Daripada Abu Musa Abdullah bin Qais al-Asy’ari berkata, Rasulullah ditanya mengenai seseorang yang berperang kerana ingin menunjukkan keberanian, ada lagi yang berperang kerana kesombongan dan ada pula yang berperang kerana riyak. Manakah antara semua itu yang termasuk berperang pada jalan Allah ( fisabilillah )? Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimat Allah menjadi tinggi (menjadi luhur), maka ia pada jalan Allah ( fisabilillah ). (Diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 30

Allah lihat pada hati

Daripada Abi Hurairah Abdir Rahman bin Sakhr berkata, Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh-tubuh kamu sekalian, dan tidak pula kepada bentuk rupa kamu sekalian. Tetapi Dia melihat kepada hati-hati kamu sekalian. (Diriwayatkan Muslim) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 30

Nafkah dengan niat mendapatkan reda Allah, akan mendapat pahala

Daripada Abi Ishaq Sa’d bin Abi Waqas Malik bin Uhaib bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luai al-Qurasyi az-Zuhri – beliau adalah salah seorang daripada sepuluh orang yang diberi kesaksian akan masuk syurga. Dia berkata: Rasulullah datang kepadaku untuk menjengukku pada tahun haji wada’ kerana sakit berat yang menimpa diriku, lalu aku berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya sakit yang ada pada diriku telah mencapai keadaan yang engkau ketahui, sedangkan aku seorang yang berharta, dan tidak ada yang mewarisi hartaku melainkan seorang puteriku saja. Oleh kerana itu, apakah boleh jika aku menyedekahkan dua pertiga hartaku? Baginda menjawab: Jangan. Aku berkata lagi: Jika separuhnya, wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Jangan juga. Aku melanjutkan: Sepertiga, bagaimana wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Ya, baiklah. Sebenarnya sepertiga itu sudah banyak, atau sudah besar jumlahnya. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan para ahli warismu dala...

Mengikut niat

Daripada Abi Yazid Ma’ni bin Yazid bin al-Akhnas, dia, bapanya dan datuknya termasuk golongan sahabat. Dia berkata: Adalah bapaku Yazid mengeluarkan beberapa dinar yang digunakan untuk bersedekah, lalu dinar-dinar itu dia letakkan di sisi seseorang dalam masjid. Lantas, aku datang dan mengambilnya. Kemudian, aku menemui ayahku, dengan membawa dinar-dinar itu. Lalu ayahku berkata: Demi Allah, bukan engkau yang aku kehendaki. Selanjutnya hal itu aku adukan kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda: Bagimu, apa yang engkau niatkan wahai Yazid, sedangkan bagimu apa yang engkau ambil, wahai Ma’nu. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari) * Bacaan Ma’ni atau Ma’nu berubah bunyi akhirnya mengikut baris dalam susunan ayat Arab. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 28

Tiada lagi hijrah selepas pembebasan Makkah

Daripada Aisyah RAnha berkata bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Tidak ada hijrah selepas pembebasan (pembukaan atau kemenangan Makkah), akan tetapi yang ada ialah jihad dan niat. Dan (oleh kerana itu), apabila kamu semua diminta untuk berangkat (berjihad), maka berangkatlah. (Diriwayatkan Bukhari dan Muslim) * Maknanya tiada lagi hijrah dari Makkah sebab ketika itu ia sudah menjadi negara Islam. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 27

Dibangkitkan berdasarkan niat mereka

Daripada Ummul Mukminin, Ummu Abdillah yakni Aisyah RAnha berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Ada sepasukan tentera yang hendak memerangi Kaabah. Ketika mereka berada di suatu padang pasir dari tanah lapang, lalu dibenamkan orang pertama hingga yang terakhir daripada mereka. Dia (Aisyah) berkata: Saya berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimana dibenamkan daripada yang pertama dan yang terakhir mereka, sedangkan antara mereka ada pedagang di pasar dan yang tidak termasuk golongan mereka? Baginda berkata: Dibenamkan dengan yang pertama dan yang akhir mereka, kemudian mereka dibangkitkan berdasarkan niat-niat mereka. (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim — Redaksi hadis ini oleh Bukhari) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 27

Setiap orang, apa yang dia niatkan

Abdullah bin Qurth bin Razah bin ‘Adi bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib al-Qurasyi al-‘Adawi berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya amalan-amalan dengan niat-niat dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Maka, sesiapa adalah hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa adalah hijrahnya untuk dunia hendak diperolehinya, atau seorang wanita hendak dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa yang dia hijrah kepadanya. (Diriwayatkan Bukhari dan Muslim) Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 25 & 26