Langkau ke kandungan utama

Catatan

3 sikap orang beriman

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tamunya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung rahimnya (hubungan kekeluargaan, persaudaraan). Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam saja. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini menjelaskan keutamaan tiga perkara; memuliakan tetamu, menjaga hubungan kekeluargaan / persaudaraan dan berkata dengan suatu yang baik. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

Tidak terbalas jasa ibu bapa

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang anak tidak akan dapat membalas (jasa, kebaikan) ibu bapanya, kecuali apabila dia (anak itu) mendapatinya (ibu bapanya) sebagai hamba, maka dia (anak itu) membelinya (ibu bapanya) lantas memerdekakannya. (Diriwayatkan oleh Muslim) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan betapa agungnya hak orang tua (ibu bapa) dan seorang anak meskipun berbakti dengan apa pun, tidak akan dapat menandingi jasa orang tuanya, kecuali dengan memerdekakan orang tuanya. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

3 amalan lebih disukai Allah

Daripada Abu Abdur Rahman Abdullah bin Mas’ud RA berkata: Saya pernah bertanya kepada Nabi SAW: Yang manakah amalan yang lebih disukai (atau lebih dicintai) di sisi Allah Taala? Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Saya berkata: Kemudian, yang mana lagi? Baginda bersabda: Berbuat baik terhadap ibu bapa. Saya berkata: Kemudian, yang mana lagi? Baginda bersabda: Jihad pada jalan Allah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini menjadi bukti bahawa solat pada waktunya adalah suatu keutamaan dan berbakti kepada orang tua (ibu bapa) lebih utama daripada jihad. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 252

Berbuat baik sesama sahabat, jiran tetangga

Daripada Abdullah bin Amru RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sebaik-baik sahabat di sisi Allah Taala ialah yang terbaik antara mereka kepada sahabatnya, dan sebaik-baik jiran tetangga di sisi Allah Taala ialah yang terbaik antara mereka terhadap jiran tetangganya. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis [status] hasan) PENJELASAN Hadis ini mengandungi anjuran berbuat baik sesama sahabat dan jiran tetangga. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 250

Anjuran berbuat baik sesama jiran tetangga

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Wahai wanita-wanita muslimat, janganlah seorang jiran tetangga menghina jiran tetangganya yang lain, sekalipun yang dihadiahkan berupa kaki kambing. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari & Muslim) PENJELASAN Hadis ini mengandungi anjuran agar melakukan perbuatan baik antara jiran tetangga walaupun sedikit. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 248

Mendahului jiran tetangga yang dekat

Daripada Aisyah RAnha berkata: Saya berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai dua jiran tetangga, maka kepada yang manakah antara kedua-duanya yang saya beri hadiah? Rasulullah berkata: Kepada yang terdekat pintu antara kedua-duanya dari kamu. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari) PENJELASAN Hadis ini menunjukkan kaedah mendahului jiran tetangga yang lebih dekat, berbanding yang jauh. Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 249

3 sikap mulia orang beriman

Daripada Abu Syuraih al-Khuza’i RA bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah berkata yang baik atau diam saja. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim dengan lafaz ini dan diriwayatkan oleh al-Bukhari sebahagiannya). Rujukan/sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 249